PASIR PUTEH - Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Puteh sanggup mengayuh basikal hampir satu kilometer untuk menarik bot mereka bagi mempercepatkan usaha menyelamat mangsa banjir di sekitar jajahan ini.
Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nik Mat berkata, pengalaman itu sukar dilupakan apabila beliau sendiri mengayuh basikal sambil dibantu anggota lain yang menolak bot dari belakang.
"Pejabat kami dinaiki air sekitar 0.5 meter, begitu juga dengan jalan keluar. Jadi kami 'terkepung', hendak tunggu kenderaan berat datang ambil akan ambil masa.
"Jadi saya dan anggota tambat bot pada basikal dan tarik. Semua ini dilakukan demi memastikan kerja-kerja menyelamat dapat dilakukan dengan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut beliau, banjir yang luar biasa bermula 25 November lalu bukan sahaja mengejutkan orang ramai tetapi anggota penyelamat juga.
Ujarnya, dari awal mereka sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan namun hujan berterusan yang lebat serta arus air yang naik terlalu cepat menyebabkan tugasan menyelamat sedikit terganggu.
"Bagaimanapun Alhamdulillah, semua mangsa dapat diselamatkan dan dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara).
"Pasir Puteh antara jajahan yang terburuk dilanda banjir selain Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu dan Kuala Krai," katanya.
Menurut Nik Mohd, tugas menyelamat kali ini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk arus deras banjir.
"Kami akui ada rungutan daripada orang ramai mengatakan tugas menyelamat menjadi lambat dan sebagainya.
"Namun, pihak kami telah cuba sehabis daya untuk melaksanakan tugasan ini dengan sebaik mungkin, namun banjir kali ini luar biasa," katanya.