Dua premis pejabat diserbu, 71 anggota 'calling center' ditahan

Iklan
Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket judi dalam talian dan tawaran kerja tidak wujud. Foto hiasan

JOHOR BAHRU - Sindiket yang menjalankan kegiatan judi dalam talian dan tawaran kerja tidak wujud tumpas selepas polis menyerbu dua premis pejabat di Iskandar Puteri yang dijadikan sebagai pusat panggilan atau 'calling center' pada minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam serbuan jam 9 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, seramai 71 anggota sindiket ditahan termasuk 35 warga asing.

Iklan
Iklan

"Serbuan pertama, polis menahan seramai 18 lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 44 tahun yang disyaki menjalankan aktiviti 'calling centre' judi dalam talian.

"Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa barangan antaranya 27 unit telefon bimbit, 18 unit komputer riba, 12 unit monitor dan tiga unit modem internet dianggarkan bernilai RM80,000," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurut Kumar, berdasarkan siasatan sindiket terbabit telah memulakan operasi pada awal bulan lalu dan menjalankan aktiviti membangunkan dan menjual aplikasi perjudian dalam talian untuk pasaran dalam dan luar negara.

Sementara itu bagi serbuan kedua pula, seramai 53 individu terdiri daripada 36 warga tempatan dan 17 warga asing berusia 22 hingga 52 tahun ditahan kerana disyaki menjalankan 'calling center' bagi penipuan tawaran kerja dalam talian tidak wujud.

Iklan

"Sindiket mula aktif pada penghujung Oktober tahun ini. Mereka menjalankan modus operandi dalam dua lapisan dengan menyasarkan mangsa terdiri daripada warga India dan Rusia.

"Operasi di peringkat lapisan pertama berperanan sebagai khidmat pelanggan dan 'data entry'. Mereka akan menghantar mesej melalui aplikasi telegram berkaitan peluang pekerjaan secara dalam talian yang menjanjikan pendapatan lumayan.

"Pendapatan antara AS$100 hingga AS$800 ditawarkan sindiket bagi setiap tugasan. Maklum balas yang diterima kemudian akan dihantar kepada lapisan kedua yang akan berkomunikasi dengan mangsa lebih lanjut mengenai tawaran kerja berkenaan," katanya.

Tambah beliau, polis merampas pelbagai barangan daripada sindiket antaranya 53 unit telefon bimbit, 23 unit komputer riba, 16 set komputer dan empat unit modem WiFi dengan anggaran rampasan sebanyak RM145,000.

"Kedua-dua sindiket disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4B (b) Akta Rumah Judi Terbuka 1853.

"Kesemua tangkapan ditahan reman untuk siasatan sehingga Rabu. Kedua-dua kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri, pada Selasa untuk mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya," ujarnya.

Jelas Kumar, seramai 18 tangkapan serbuan pertama akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.

"Bagi tangkapan serbuan kedua pula, Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan agar siasatan lanjut dijalankan pihak polis dalam mendapatkan beberapa keterangan lain untuk kes dikaji semula.

"Polis Johor memberi amaran akan bertindak tegas dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.