KOTA BHARU - Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih apabila jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 43,745 orang berbanding 57,005 pada Rabu.
Antara jajahan yang masih terjejas ialah Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok dan Tanah Merah.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, setakat jam 8 pagi ini, 13,310 mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing susulan cuaca semakin baik.
"Setakat ini 96 PPS yang masih diaktifkan dengan menempatkan 13,999 keluarga dari enam daerah.
"Pasir Mas masih menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 22,441 orang diikuti Tumpat (20,556), Kota Bharu (403), Bachok (243), Tanah Merah (55) dan Pasir Puteh (47)," katanya.
Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu (Tumpat) masih melepasi paras bahaya namun semakin menurun.
Lain-lain sungai utama di Kelantan kembali ke paras normal kecuali di Kampung Sokor, Tanah Merah apabila berada pada tahap waspada.
Sementara itu, penduduk di Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang, Faezah Ahmad, 42, berkata, dia serta keluarga masih terkejut dengan banjir yang luar biasa kali ini.
"Memang setiap tahun banjir tetapi air hanya di luar rumah, tetapi kali ini sehingga ke dalam rumah.
"Paras air pula mencecah 0.8 meter dalam rumah. Alhamdulillah kami sudah pulang ke rumah sejak Isnin.
"Sekarang ini sibuk dengan kerja-kerja membersih barangan kelengkapan yang ditenggelami banjir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Pengarah APM Kelantan, Mohd Adzhar Mujab berkata, amaran ribut petir oleh Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dijangka berlaku di Gua Musang melibatkan hujan lebat dan angin kencang.
Menurut beliau, orang ramai diminta sentiasa peka dengan laporan cuaca semasa dan bersiap sedia.