Banjir: Jumlah mangsa di seluruh negara menurun pagi ini

Iklan
Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di tujuh negeri berkurang kepada 65,854 setakat jam 9 pagi Rabu. Foto Bernama

SHAH ALAM - Keadaan banjir di seluruh negara menunjukkan penurunan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri berkurang kepada 65,854 setakat jam 9 pagi Rabu.

Tujuh negeri itu termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Perak dan Pahang.

Iklan
Iklan

Di Kelantan, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir turun kepada 43,667 orang di 96 PPS membabitkan enam jajahan.

Jajahan Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 22,441 orang di 44 PPS diikuti Tumpat 20,478 orang di 46 PPS, Kota Bharu 403 orang (satu PPS), Bachok 243 orang (tiga PPS) manakala Tanah Merah 55 orang dan Pasir Putih 47 orang, dengan masing-masing mempunyai satu PPS.

Iklan

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir mencatatkan pengurangan kepada 14,321 orang dan Kuala Nerus menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah 5,764 mangsa di 15 PPS bagi kawasan itu.

Ini diikuti Dungun 4,594 orang (20 PPS), Kuala Terengganu 3,142 orang (12 PPS), Hulu Terengganu 474 orang (lapan PPS), Setiu 158 orang (empat PPS), Marang 187 orang (tiga PPS) dan Kemaman 2 orang (satu PPS).

Iklan

Jumlah mangsa banjir di Kedah pula ialah 6,134 dan Kota Setar menjadi daerah paling terkesan dengan jumlah seramai 4,059 orang di 18 PPS.

Empat lagi daerah terjejas ialah Kubang Pasu 1,473 orang (10 PPS), Pokok Sena 447 orang (tiga PPS) dan Padang Terap 155 orang (satu PPS).

Mangsa banjir di Johor juga menurun menjadikan jumlah terkini sebanyak 1,089 di dua daerah yang terkesan iaitu Segamat dengan 922 mangsa (18 PPS) dan Tangkak 167 mangsa (dua PPS).

Di Perak sebanyak 382 mangsa banjir melibatkan lima daerah termasuk di Kinta 148 mangsa di lima PPS, Hilir Perak 75 mangsa (satu PPS), Kampar 74 mangsa (satu PPS), Perak Tengah 70 mangsa (dua PPS) dan Larut, Matang serta Selama 15 mangsa (satu PPS).

Di Melaka, jumlah mangsa banjir seramai 172 orang membabitkan daerah Jasin di dua PPS.

Jumlah mangsa banjir di Pahang ialah 53 orang dengan dua daerah terlibat iaitu Bera mencatatkan 41 mangsa dan Temerloh 12 mangsa dengan masing-masing mempunyai dua PPS.