PENGENDALI Buriram United, Osmar Loss mengakui aksi berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Liga Juara-Juara Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa sebagai satu perlawanan yang penuh emosi buat kedua-dua pasukan.
Menurut Osmar, kedua-dua pasukan tahu mereka beraksi untuk mencapai kemenangan bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.
Justeru katanya, situasi tersebut menyaksikan pemain kedua-dua pasukan mempamerkan aksi mantap di sepanjang perlawanan.
"Pada kebiasaannya, JDT akan beraksi dengan memberikan tekanan kepada lawan, namun ia tidak berlaku kali ini setelah mereka kehilangan seorang pemain pada awal permainan.
"Oleh itu, kami menggunakan kesempatan ini untuk melakukan perkara sama terhadap mereka bagi merealisasikan misi tiga mata.
"Walaupun tidak berjaya, kita masih membawa pulang satu mata dan ia merupakan sesuatu yang perlu diraikan kerana bagi kami setiap mata yang dihasilkan ternyata amat penting untuk mara ke pusingan seterusnya," katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Untuk rekod, aksi kedua-dua pasukan berlangsung 'panas' hingga menyaksikan pemain import JDT, Murilo Henrique dilayangkan kad merah pada minit ke-12 dan Park Junheong pada masa kecederaan.
Buriram United turut beraksi dengan 10 pemain apabila kapten, Theerathon Bunmathan dibuang padang kerana 'mengasari' Arif Aiman Hanapi.
Mengulas mengenai baki aksi dua perlawanan, Osmar berkata, pihaknya akan melakukan persiapan terbaik bagi mengharungi kedua-dua perlawanan berkenaan.
"Perlawanan dijangka pada Februari. Kita masih ada masa untuk tukar pemain dan lain-lain perkara.
"Ia memang satu suasana yang berbeza. Lagipun, kita akan berdepan kelab-kelab handalan dari Jepun, Korea dan China yang sudah pun menyamakan saingan liga masing-masing.
"Apa pun, kita akan berikan fokus terhadap persiapan pasukan kita," katanya.