GiatMara mulakan program TVET buat pekerja gig

Iklan
Rakaman program Interviu bertajuk 'TVET Mara Menjana Ekonomi Negara' bersama Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 26 Jun lalu. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui GiatMara akan memulakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) buat pekerja gig.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kumpulan berkenaan boleh menyertai program latihan itu yang menawarkan pelbagai kemahiran secara separuh masa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, selain meningkatkan kemahiran, pekerja gig juga diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf melalui Dasar TVET Negara bahkan dengan berbekalkan Sijil SKM Tahap Tiga dan Empat, golongan terbabit mampu menyambung pengajian ke peringkat diploma serta ijazah.

"Sampai bila pekerja gig seperti penghantar barangan dan makanan akan terus bekerja dalam industri tersebut yang lebih kepada sambilan?

Iklan

"Jika melangkau usia 40-an dan berkeluarga, waktu itu tenaga sudah kurang. Kalau tiada kemahiran lain atau sijil pendidikan, sukar untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

"Contohnya, penghantar makanan dilatih kemahiran selenggara pendingin hawa. Sambil hantar makanan, boleh tawar servis (baiki) pendingin hawa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, program tersebut dijalankan melalui kerjasama erat dengan penggiat industri agar tenaga mahir yang dilatih di GiatMara terjamin dari segi peluang pekerjaan.

Ujarnya, GiatMara juga telah mengenal pasti jurusan baharu yang diperlukan di pasaran termasuk bidang berteknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Robotik, Kenderaan Elektrik (EV) dan lain-lain.

Jelas beliau lagi, langkah itu selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara agar program terbabit mampu menjanjikan gaji premium kepada anak muda dan menjadi pilihan utama kerjaya masa depan.