Warga emas bakar pelantar ikan diperintah jalani pemeriksaan mental

Iklan
Chai Lai dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu selepas didakwa melakukan perbuatan khianat membakar tiga pelantar ikan di Pantai Remis, Ahad lalu.

IPOH - Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat membakar tiga pelantar ikan di Pantai Remis, Ahad lalu.

Tertuduh, Chew Chai Lai, 64, yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Iklan
Iklan

Azizah bagaimanapun memerintahkan Chai Lai dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan kesihatan mental berikutan tertuduh sering bercakap sepanjang prosiding pertuduhan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api menggunakan minyak petrol dengan niat untuk menyebabkan kerosakan tiga pelantar ikan.

Iklan

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pelantar, Pantai Remis di daerah Manjung sekitar jam 1 pagi pada 1 Disember 2024.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak sampai 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N M Moganaraj Mithra manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tiga pelantar ikan di Pantai Remis di sini musnah dalam kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat pada awal pagi Ahad mengakibatkan kerugian sekitar RM470,000.

Polis berjaya menahan suspek di kawasan di tepi jalan pelantar ikan dan siasatan awal mendapati, lelaki warga tempatan terbabit mempunyai gangguan mental.