PUTRAJAYA - Peruntukan segera yang dimohon pembangkang untuk kawasan Parlimen terjejas akibat banjir akan diputuskan selepas bencana itu berakhir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terdapat beberapa proses yang perlu diberi tumpuan terutamanya aspek pemulihan antaranya membabitkan kerosakan kemudahan dan bangunan keperluan orang ramai.
"Tunggu selesai banjir, baru diputuskan," katanya di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan mempertimbangkan peruntukan segera sebanyak RM1 juta kepada ahli Parlimen pembangkang yang kawasannya terjejas banjir.
Peruntukan tersebut bertujuan membantu rakyat yang terjejas akibat bencana itu.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya telah membuat permohonan termasuk melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) berhubung hasrat tersebut.
Terdahulu, Fadillah merasmikan Putrajaya Urban Oberservatory (PUO) sempena Persidangan dan Pemeran Digital Putrajaya (DIPEC2024) yang berlangsung selama dua hari.
PUO merupakan platform digital data raya bagi perkongsian data khusus untuk membolehkan pengumpulan dan analisis terhadap data-data perbandaran yang dibangunkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).
Ia membolehkan perancangan pembangunan pengoperasian, pengurusan dan penyelesaian perbandaran dapat dilaksanakan dengan lebih strategik dan cekap serta berupaya mempercepatkan tempoh piagam bagi proses kelulusan cadangan pemajuan.
Sistem yang berasaskan pemetaan itu mampu membuat analisa kepelbagaian data untuk membantu PPj dalam membuat keputusan yang tepat terhadap sesuatu pembangunan, sekaligus meningkat kualiti dan tadbir urus perbandaran setaraf bandar-bandar pintar di dunia.
Ia juga mampu memberi amaran awal kepada PPj untuk mengambil tindakan yang pro-aktif bagi mengelakkan sesuatu pembangunan memberi kesan yang negatif kepada kehidupan warga Putrajaya.