SEJAK ditubuhkan 47 tahun lalu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berjaya memenuhi peranannya sebagai sebuah agensi yang menyokong kuat agenda Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam mentransformasikan sektor pertanian.
Di samping lima hala tuju tahun 2019-2020 yang dirangka, LPP akan menyokong hala tuju MOA dalam peningkatan pengeluaran agro makanan, Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani (IAT), memperkukuhkan pengeluaran sayuran dan buah, subsektor padi, padi pulut serta ternakan.
Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) telah diperkenalkan pada 1979 untuk memberi galakan dan menarik minat kaum petani supaya kekal dalam penanaman padi.
Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman berkata, SBPKP juga untuk mengurangkan kos pengeluaran padi yang ditanggung oleh pesawah akibat kenaikan kos input dan buruh.
Menurutnya, pada 2019, terdapat 326,344 pesawah yang berdaftar di seluruh negara sehingga musim 1 dan 2/2019 dengan jumlah subsidi baja yang dibiayai kerajaan bernilai RM628,394,893.
Katanya, bagi musim 1/2020, seramai 163,711 pesawah yang berdaftar di seluruh negara dengan jumlah subsidi baja yang diterima sebanyak RM163,917,625.
"Pihak kerajaan masih meneruskan bantuan baja padi kepada pesawah dan ia turut diperluaskan kepada penanam padi bukit.
"Kerajaan juga menyediakan subsidi harga kepada benih-benih padi supaya pesawah mendapatkan benih padi yang diiktiraf pada harga berpatutan," katanya kepada Sinar Harian.
Mazlan berkata, pesawah juga digalakkan menggunakan teknologi pertanian sama ada dengan cara memiliki sendiri peralatan kejenteraan atau mendapatkan perkhidmatan daripada pihak swasta termasuk perkhidmatan kejenteraan yang ditawarkan Pertubuhan Peladang berhampiran.
Katanya, LPP melalui 19 pertubuhan peladang negeri menawarkan perkhidmatan kejenteraan kepada pesawah.
Beliau berkata, pada masa itu perkhidmatan kejenteraan yang ditawarkan oleh LPP merangkumi 33 peratus permintaan pasaran.
Bagaimanapun, katanya, sasaran itu ditingkatkan kepada 40 peratus dan untuk itu, LPP mengemukakan permohonan peruntukan berjumlah RM8.373 juta terutamanya untuk perolehan jentera baharu, pembaikan dan memanjangkan hayat jentera sedia ada pada tahun ini.
Jelasnya, penggunaan teknologi menjadikan menjadikan bidang pertanian bukan lagi pekerjaan 3D (Dirty, Danger & Difficult).
Pertubuhan Peladang Negeri Cawangan Jentera (PPNJ) sentiasa mencari jalan untuk menyesuaikan jentera yang ada dengan keperluan petani.
Mazlan berkata, peralatan seperti alat meratakan tanah, alat membina batas padi dan alat (felese) yang boleh melaksanakan tiga kerja iaitu membaja, merata dan menanam dalam satu masa boleh diperoleh di PPNJ.
"Pesawah juga dibawa mengunjungi pameran jentera baharu melalui ekspo tani seperti Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA).
"Kini, LPP sedang mengkaji keperluan mesin dan jentera kecil seperti yang digunakan di China kerana sangat efisien dan tidak merosakkan struktur tanah," katanya.
Penglibatan golongan muda
Sementara itu berucap ketika merasmikan roadshow Peladang Muda dan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang di Bandar Penawar, Johor pada 8 Februari lalu, Mazlan berkata, LPP akan terus merangsang program yang boleh meningkatkan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian.
Katanya, setakat ini penglibatan orang muda dalam masyarakat peladang hanya 15 peratus berbanding 920,000 keseluruhan ahli peladang di negara ini.
"Golongan peladang muda perlu ambil peluang daripada dana RM100 juta yang diperuntukkan Petronas hasil kerjasama dengan Agrobank," katanya.
Katanya lagi, golongan muda perlu merebut insentif ditawarkan kerajaan seperti geran agropreneur muda yang nilai bantuannya mencecah RM20,000 serta kemudahan oleh lain-lain agensi.
Program Rezeki Tani bantu golongan B40
Program Rezeki Tani adalah sebuah program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bertujuan membantu peserta keluar daripada kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan melalui projek ekonomi melibatkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, pemasaran berkaitan pertanian, penternakan dan perikanan di samping mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui latihan.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, peruntukan diberikan kepada 500 penerima yang tergolong dalam kategori B40 termasuk golongan muda yang berminat menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.
Katanya, Rezeki Tani dilaksanakan bagi memastikan golongan tersebut mampu berdikari tanpa bergantung kepada subsidi dan sebagainya.
"Setakat ini, seramai 300 orang sudah menerima manfaat. Objektifnya untuk mencari golongan B40 dan kita bukan melakukannya dengan menerima permohonan rambang.
"Pihak kementerian sendiri, melalui pelbagai jabatan dan agensi turun pangan mencari yang susah dan sudah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
"Kita akan beri bantuan dalam bentuk peralatan sesuai dengan kerja mereka supaya dapat mempertingkatkan pendapatan sekali gus keluar daripada golongan B40,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: LPP garis lima hala tuju mantapkan peladang