PUTRAJAYA - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menyediakan rumah baharu atau membaik pulih kediaman di kawasan desa yang terjejas akibat banjir kali ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, ia adalah antara usaha yang bakal digerakkan di peringkat kementerian bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.
"Saya mahu KKDW melalui setiap jabatan, agensi, dan anak syarikat untuk bersama-sama mengambil inisiatif yang sesuai serta menggerakkan usaha bagi membantu mangsa banjir,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan KKDW dan sambutan hari inovasi dan kualiti di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, Tabung Derma Kilat Bantuan Banjir juga akan dilancarkan bagi menyediakan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan keperluan harian kepada mangsa.
Beliau berkata, kerajaan Madani kini memberikan tumpuan sepenuhnya, dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir buruk.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir gelombang kedua yang dijangka bermula 8 hingga 14 Disember ini telah dilaksanakan semua agensi di pelbagai peringkat, supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku.
"Pahang dan Johor akan turut terlibat (banjir) dan kita harap jawatankuasa bencana negeri dan daerah bersiap siaga.Kesiapsiagaan perlu kita buat awal bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya yang menyifatkan banjir kali ini teruk berbanding pada 2014.
Jumlah mangsa di negeri-negeri yang terjejas banjir pagi ini merekodkan penurunan kepada 65,899 orang berbanding 67,453 orang malam tadi.
Kelantan, Pahang dan Johor merekodkan sedikit peningkatan dari segi jumlah mangsa banjir manakala tiga negeri lagi iaitu Terengganu, Perak dan Kedah menurun sementara Melaka kekal. - Bernama