107 projek pembangunan bekalan air Pahang Fasa 1 siap dilaksanakan

Iklan
Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN - Sebanyak 107 daripada 217 projek pembangunan bekalan air negeri Pahang Fasa 1 telah siap dilaksanakan sehingga September tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, baki 33 projek masih dalam pembinaan manakala 77 projek lagi di peringkat pra-pembinaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkembangan pelaksanaan projek bekalan air oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sentiasa dipantau kerajaan negeri.

"Satu sesi lawatan 'task force' ke semua daerah di negeri ini telah dilaksanakan pada 2022 bagi mengumpul maklumat permasalahan bekalan air dan merangka cadangan penyelesaian.

Iklan

"Melalui lawatan 'task force' itu, satu rangka kerja dibuat bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan.

"Inisiatif projek bagi menyelesaikan masalah `blackspot' di seluruh Pahang ini dirangkum dan peruntukan dana pembiayaan rentas agensi termasuk daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), peruntukan dalaman PAIP, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khairulnizam Mohamad Zuldin (BN- Kemayan) mengenai masalah gangguan bekalan air di negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, sehingga kini, PAIP telah menukar paip usang sepanjang 154 kilometer di negeri ini.

"Kerja-kerja penukaran 186 kilometer paip usang lagi sedang dilaksanakan dan akan terus dilaksanakan sehingga 2026," katanya.