Hukuman sebat pesalah khalwat depan khalayak di masjid ditangguhkan

Iklan
Muhammad Khalil menunjukkan kenyataan media berhubung penangguhan sementara hukuman sebatan ke atas pesalah syariah takzir di sebuah masjid di Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan hukuman sebatan ke atas seorang pesalah khalwat di sebuah masjid pada Jumaat ini ditangguhkan sementara menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia berikutan satu permohonan semakan telah difailkan kepada mahkamah berkenaan pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Permohonan semakan merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman dan boleh dilakukan oleh mana-mana pihak bagi melihat setiap hukuman berjalan dengan lebih teratur dan tersusun.

"Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak mahkamah syariah," katanya ketika sidang akhbar di sini, pada Rabu.

Iklan

Muhammad Khalil berkata, hukuman tersebut dilaksanakan bagi kesalahan jenayah takzir yang bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu lain.

"Hukuman dikenakan serta lokasi pelaksanaan hukuman itu tidak berubah, cuma menunggu tarikh baharu sahaja dan saya percaya ianya dalam masa terdekat, tidak mengambil masa yang lama.

Iklan

"Kita mahu hukuman ini dilaksanakan sebaik mungkin dan (pelaksanaan) dijangka dalam bulan Disember juga," ujar beliau.

Pada 20 November lalu, Sinar Harian melaporkan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam hukuman sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid seperti ditetapkan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.

Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, turut menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen berkenaan pada 19 Februari lalu.

Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.