KOTA BHARU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyumbangkan empat buah bot ‘rapid water rescue’, bekalan makanan, ubatan dan keperluan harian untuk membantu mangsa banjir di Kelantan.
Timbalan Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, bantuan berbentuk kekuatan jentera untuk operasi menyelamat dan penghantaran turut disediakan.
"Melihat kepada situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia terutama di Kelantan, kami mengambil inisiatif segera untuk membantu mangsa-mangsa yang terkesan.
"Bagaimanapun, AMK telah menyerahkan bantuan kepada pasukan Khidmat Malaysia untuk dihantar terus ke kawasan terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, walaupun berdepan kekangan seperti kesediaan stok dan cabaran logistik, pembelian bot-bot baharu ini dapat dilaksanakan segera.
"Konvoi AMK dan Khidmat Malaysia yang membawa barangan bantuan tersebut mulai bergerak ke Kelantan bagi memastikan bantuan dapat sampai tepat pada masanya.
"AMK sentiasa peka terhadap keperluan-keperluan segera di lapangan, termasuk keperluan jentera untuk menghantar bekalan ke kampung-kampung yang terputus hubungan serta membantu pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.
Beliau berkata, AMK komited untuk terus mempertingkatkan usaha membantu mangsa banjir, bukan hanya semasa bencana tetapi juga dalam persiapan pasca.
"Semoga semua usaha ini dapat meringankan beban mereka yang terkesan," katanya.