LZS sasar jumlah kutipan zakat melebihi RM1.22 bilion

Iklan
Ahmad Fadhil (duduk empat dari kanan) bergambar bersama-sama penerima dan penyumbang zakat semasa Majlis Pelancaran Kempen Sama-sama Kongsi di LZS, Seksyen 13, Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) yakin mampu melebihi sasaran kutipan zakat sebanyak RM1.22 bilion tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Ahmad Fadhil Hassan berkata, ketika ini LZS masih memerlukan RM400 juta lagi bagi memenuhi sasaran tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak RM844 juta wang kutipan zakat telah diperoleh LZS sehingga November ini.

"Bagaimanapun, kita yakin sasaran itu dapat dicapai berbaki tempoh sebulan ini kerana jumlah kutipan zakat pada Disember dijangka meningkat antara 30 sehingga 40 peratus," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Kempen Sama-sama Kongsi di LZS, Seksyen 13, di sini pada Rabu.

Ahmad Fadhil berkata, peningkatan itu dijangka mengatasi jumlah kutipan tahun lalu sebanyak RM1.12 bilion.

Iklan

"Jumlah kutipan zakat juga menunjukkan trend peningkatan sebanyak RM100 juta pada setiap tahun," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai usaha dilaksanakan LZS dalam usaha memberi galakan kepada pembayar untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Katanya, antara usaha dilaksanakan LZS termasuklah menerusi Kempen Sama-Sama Kongsi yang diadakan sepanjang Disember ini.

"Kempen inisiatif tersebut meliputi 'start with sepuluh' terbuka kepada pengeluar zakat terutama golongan muda di IPT (institusi pengajian tinggi) yang membuat bayaran zakat bermula RM10.

"Inisiatif lain seperti kempen Jom Auto Zakat Bulanan dan Early Bird di 18 cawangan LZS bermula pada 1 hingga 6 Disember ini kepada 10 pengeluar zakat terawal setiap hari," katanya.