Calon SPM maut dalam perjalanan duduki ujian bertutur

Iklan
Mangsa yang merupakan pelajar SMK Dang Anum meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan. Foto hiasan

JASIN - Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam perjalanan ke sekolah untuk menduduki ujian bertutur Bahasa Melayu hari ini, selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar tembok batu di Jalan Kilang Berapi, Merlimau di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu, Adib Irfan Mohd Nizam, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan.

Iklan
Iklan

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha LC 135 yang ditunggang mangsa dari arah Umbai menghala ke SMK Dang Anum terbabas dan mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaan itu sebelum melanggar tembok batu di bahu jalan di Jalan Kilang Berapi.

"Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah pada badan dan maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Iklan

Ringkasan berita:

  • Pelajar SPM, Adib Irfan Mohd Nizam maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas langgar tembok batu di Jalan Kilang Berapi, Merlimau, Jasin, pagi Rabu.
  • Mangsa dalam perjalanan ke SMK Dang Anum untuk menduduki ujian bertutur Bahasa Melayu SPM.
  • Mangsa alami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
  • Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dijana oleh AI