513 kes bunuh diri di Perak

Iklan
Sivanesan

IPOH - Sebanyak 513 kes bunuh diri dicatatkan di Perak sejak tahun 2019 sehingga September 2024.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, masalah kesihatan mental boleh dikaitkan dengan kes bunuh diri yang berlaku.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada tahun 2019 sebanyak 24 kes bunuh diri dicatatkan kemudian meningkat kepada 56 kes pada tahun 2020, tahun 2021 (112 kes), 2023 (98 kes) dan sejak Januari hingga September tahun ini sebanyak 94 kes direkodkan.

"Kesihatan mental ialah kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial seseorang. Ia mempengaruhi cara mereka berfikir, merasa dan bertindak. Ia adalah elemen penting dalam kesihatan dan kesejahteraan seseorang individu.

Iklan

"Berdasarkan rekod pesakit, gangguan mental paling banyak yang direkodkan di Klinik Kesihatan adalah dari kategori Mood Disorder seperti Kemurungan (depression) dan kategori Neurotic (stress related ) seperti kebimbangan (anxiety)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan V Bavani (PH-Malim Nawar sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri komited dalam mengukuhkan lagi aktiviti saringan kesihatan mental antaranya menerusi inisiatif berterusan yang dijalankan adalah melalui Saringan Minda Sihat yang dijalankan di klinik kesihatan, di lapangan semasa program program Kesedaran Kesihatan dan di peringkat komuniti.

Sivanesan berkata, Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk menambah bilangan kaunselor.

Katanya, sehingga November 2024 seramai 24 orang Pegawai Psikologi yang berkhidmat di fasiliti kesihatan di Perak.

Sementara itu, beliau berkata, bagi Perkhidmatan Rawatan Susulan Pesakit Mental di klinik kesihatan, terdapat seramai 4,729 pesakit pada tahun 2022 dan seramai 4,988 pesakit pada tahun 2023 di seluruh Perak.