Akmalrizal dilantik ketuai IPD Kuala Langat

Iklan
Akmalrizal (kanan) dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Langat baharu dengan disaksikan Hussein (tengah).

BANTING - Superintenden Akmalrizal Radzi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Langat baharu berkuat kuasa pada Rabu.

Beliau sebelum ini merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan secara rasminya memulakan tugas selepas Majlis Serah Terima Tugas di IPD Kuala Langat disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Iklan
Iklan

Menurut Hussein, Akmalrizal memulakan kerjaya dalam pasukan pada 1 November 2003 dan telah berkhidmat dalam pasukan selama 21 tahun selain berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Antara jawatan yang beliau sandang seperti Asisten Superintenden (ASP) Bahagian D7A (Judi, Maksiat dan Gangsterisme) IPD Klang Selatan dan ASP Risikan Operasi di IPD Ampang Jaya.

Iklan

"Saya yakin pengalaman dan keperibadian beliau, kawasan Kuala Langat terus akan berada dalam keadaan aman dan selamat di bawah pimpinannya," katanya semasa berucap di Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat di sini pada Rabu.

Tambah Hussein, beliau juga percaya Akmalrizal akan meneruskan usaha-usaha yang dirintis serta membawa inovasi dan pendekatan baharu dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat di Kuala Langat.

Iklan

Katanya, pada masa kini, organisasi ini amat mementingkan kualiti kepimpinan yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi.

"Diharap beliau terus menyumbang bakti serta memberikan idea yang bernas dan perkhidmatan terbaik, berkualiti serta berintegriti di Kuala Langat," ujarnya.

Dalam pada itu, kata Hussein, statistik kes jenayah di Kuala Langat pada tahun ini setakat November mencatatkan penurunan 12.6 peratus iaitu 380 kes berbanding 435 kes tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, kadar penyelesaian kes juga meningkat sebanyak 65.68 peratus.

"Statistik itu sahaja menunjukkan usaha yang diambil untuk mencegah jenayah dan menyelesaikan kes membuahkan hasil, walaupun masih terdapat peningkatan bagi beberapa kategori jenayah secara tuntasnya kita melihat penurunan yang ketara dalam jumlah kes jenayah," katanya.