KOTA BHARU - Jemaah Masjid Ikhtikaf ZB, Kampung Padang Mengkali, Peringat di sini teruja selepas mendapati seekor ikan berkepala seakan buaya atau lebih dikenali sebagai spesis Alligator Gar tersangkut pada pukat yang dipasang di sini pada Jumaat lalu.
Tangkapan ikan berukuran satu meter panjang dan berat lapan kilogram itu mencuri tumpuan penduduk selepas kelihatan pelik kerana rahangnya seakan buaya dan bersirip keras.
Ahli jemaah, Saari Mohamed, 48, berkata, hidupan air itu tersangkut pada pukat sekitar jam 9 malam selepas kawasan berhampiran masjid dinaiki air.
"Jadi, kami mengambil peluang tersebut menahan pukat dan tidak menyangka dapat ikan pelik.
"Ikan itu dikenali sebagai Alligator Gar yang digolongkan sebagai spesis primitif dan berasal dari Amerika Utara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, penduduk tidak menolak kemungkinan ikan terbabit mungkin dibela dan kemudian terlepas dari kolam.
Ujarnya, Alligator Gar itu kemudian dimasak gulai kari dan dijamu kepada lebih 20 jemaah masjid.
Terdahulu kisah itu tular selepas dikongsi oleh orang ramai menerusi laman sosial.