KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang meluluskan 30 projek durian melibatkan kawasan seluas 3,016.54 hektar tanah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK).
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, daripada projek diluluskan itu, tujuh di Bentong melibatkan kawasan seluas 277.68 hektar, Kuantan (3 projek, 546.32 hektar), Lipis (6 projek, 681.07 hektar), Maran (1 projek, 16.6 hektar), Raub (9 projek, 1152.66 hektar) dan Temerloh (4 projek 342.1 hektar).
Menurutnya, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memperkukuh sektor pertanian melalui pemerkasaan industri tanaman durian di negeri ini.
"Keluasan tanaman durian di negeri ini terus meningkat daripada 14,803.2 hektar pada 2021 kepada 15,893.63 hektar pada 2022.
"Jumlah pengeluaran dihasilkan di negeri ini pula sebanyak 122,290.97 tan metrik bernilai lebih RM2.495 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Su Keong Siong (DAP-Ketari) mengenai perkembangan industri durian di negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.
Mohd Soffi berkata, Pahang juga menerima peruntukan RM2 juta tahun ini bagi pembangunan industri durian di negeri ini termasuklah pemberian input tanaman.
"Pusat pemprosesan durian di negeri ini juga telah meningkat kepada 20 buah di Bentong, Raub dan Jerantut," katanya.
Jelasnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Pahang telah melaksanakan beberapa program terpilih dalam memperkasa industri durian di negeri ini.
"Antaranya program pengembangan teknologi, bantuan khidmat nasihat secara teknikal, perundingan pembukaan kawasan, pemilihan varieti yang berkualiti, kesesuaian tanah, kaedah pembajaan, kawalan penyakit dan perosak, pensijilan Amalan Pertanian Baik (myGAP), program lepas tuai, laluan pasaran dan penghasilan produk industri hiliran.
"Jabatan Pertanian Negeri Pahang juga turut membantu pengusaha durian mengeluarkan hasil yang berkualiti melalui amalan pertanian yang baik sehingga memperoleh persijilan myGAP dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) bagi memudahkan pengeksportan durian Musang King ke luar negara terutama negara China," katanya.
Beliau berkata, sesi bengkel dan libat urus bersama pengusaha-pengusaha tanaman durian negeri Pahang dan pemain-pemain industri juga turut dilaksanakan bagi mengenalpasti masalah, penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dan latihan atau bantuan yang boleh diberikan kepada pengusaha durian di negeri ini.