TUMPAT - Sebanyak 25 itik serati milik seorang penternak warga emas di Kampung Ana di sini mati kesejukan dalam kejadian banjir yang melanda pada Khamis lalu.
Yuti Daud, 75, berkata, hujan lebat dan limpahan air Sungai Golok laju menyebabkan reban yang menempatkan 50 itik di pekarangan rumahnya dipenuhi air.
"Banjir setinggi 0.9 meter dan naik dengan cepat menyebabkan itik-itik ini kesejukan.
"Haiwan ternakan ini tak ada tempat untuk menyelamatkan diri dan sejuk berterusan menyebabkan ia mati seekor demi seekor dalam air,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Bagaimanapun Yuti berkata, bangkai-bangkai itik tersebut sudah dikambus bagi mengelak bau busuk.
Katanya, selain baki 25 itik yang masih tinggal, dia turut memelihara tiga ekor lembu dan meminta pertolongan orang kampung untuk membeli dedak haiwan ternakan itu kerana sukar untuk bergerak akibat banjir.
"Air memasuki rumah saya di bahagian dapur manakala sekelilingnya masih di paras 0.5 meter selain jalan di kampung sejauh tiga kilometer tidak dapat dilalui kerana banjir.
"Saya kirim wang kepada penduduk membelikan 50 kilogram dedak berharga RM62 untuk memberi makan kepada ternakan yang masih hidup,” katanya.
Sementara itu, Yuti memberitahu dia turut membersihkan rumah pada Rabu selepas cuaca cerah selama dua hari sebelumnya bagaimanapun, ujar warga emas itu tetap berjaga-jaga menghadapi gelombang kedua.
"Saya tinggal di rumah bersama isteri berusia 69 tahun dan ibu mentua yang uzur berusia 97 tahun.
"Tak larat setiap kali banjir, perabot dan barangan elektrik perlu diangkat ke tempat tinggi lebih-lebih lagi banjir teruk seperti kali ini berbanding tahun-tahun lalu,” katanya.