[VIDEO] Dua usahawan warga China didenda mencuri dalam pesawat

Iklan

BALIK PULAU - Dua usahawan warga China mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri wang penumpang lain di dalam pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Kedua-dua lelaki tersebut yang dituduh secara berasingan itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan
Kedua-dua usahawan China mengaku bersalah mencuri wang tunai di dalam pesawat pada November lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Lushini manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Md Yusuf Md Idris.

Mengikut kes pertama, tertuduh, Xin Min, 61, dituduh telah mencuri wang tunai New Taiwan Dollar 24,000 dan RM200 milik Lye Khai Sheng antara jam 10.20 hingga 10.30 pagi pada 24 November lalu.

Iklan
Xin Min dikenakan denda RM3,700 selepas mengaku bersalah mencuri wang tunai di dalam pesawat pada 24 November lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Tertuduh mengangguk faham dan mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa terhadapnya.

Iklan

Lushini kemudiannya memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai satu pengajaran.

Md Yusuf dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman yang minimum terhadap anak guamnya kerana mempunyai tanggungan keluarga.

"Anak guam saya sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak yang masih belajar. Selain itu, tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain ini merupakan kesalahan pertamanya.

"Pengakuan tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah selain tahanan reman yang dikenakan sudah cukup untuk memberi pengajaran kepadanya.

"Anak guam saya juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini dan akan terus pulang ke China sebaik sahaja dibebaskan," katanya.

Huey Ting telah mengenakan denda RM3,700 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal bayar, tertuduh boleh dipenjara selama tiga bulan.

Sementara itu bagi kes kedua, tertuduh, He Dapeng, 51, didakwa telah mencuri wang tunai berjumlah RM2,000 milik Teng Chin Wee antara jam 8.20 hingga 8.40 pagi pada 21 November lalu.

He Dapeng didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah mencuri wang tunai di dalam pesawat pada 21 November lalu.

Oleh demikian, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

He Dapeng mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Lushini turut memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai satu pengajaran.

Md Yusuf dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya tertuduh perlu menanggung dua anaknya yang masih bersekolah.

"Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan saya percaya tahanan reman yang dikenakan ke atas anak guam saya sudah cukup untuk dijadikan pengajaran kepadanya.

"Selain itu, tiada sebarang kerugian yang dialami oleh mana-mana pihak selain barang kes telah pun dipulangkan kepada mangsa.

"Tertuduh juga akan terus pulang ke negara asal sejurus dia dibebaskan. Oleh demikian, saya mohon hukuman yang paling minimum dikenakan terhadapnya," katanya.

Huey Ting kemudiannya telah mengenakan denda RM2,000 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal bayar, tertuduh boleh dipenjara selama tiga bulan.