GUA MUSANG - Enam sekeluarga berdepan risiko tanah runtuh apabila tanah di sekitar rumah mereka mula terhakis akibat hujan berterusan di Simpang Jerek, di sini.
Mohammad Hazerel Ashraf Hazelan, 31, berkata, pada kira-kira jam 11 malam Ahad lepas, laluan di KM35, Jalan Gua Musang-Jeli berdekatan Kampung Jerek menuju ke Jelawang telah runtuh.
Beliau berkata, ketika itu hujan berterusan dari pagi sehingga menyebabkan air daripada pembentung berhampiran rumahnya melimpah ke atas jalan.
"Saya keluar melihat jalan raya KM35 sedang runtuh dan terperanjat melihat tebing tanah di tepi rumah dan bengkel telah runtuh ketika air pembentung surut.
"Saya bergegas menuju ke bengkel yang terletak di hadapan rumah dan mengalihkan beberapa peralatan yang ada,” katanya kepada pemberita di Simpang Jerek, di sini.
Mohammad Hazerel Ashraf berkata, runtuhan berlaku bersama bunyi kuat yang mengejutkan isteri dan anak-anaknya yang berada di dalam rumah.
"Ini kali pertama berlaku tanah terhakis sepanjang kami tinggal di sini sejak tujuh tahun lepas. Air daripada pembentung tersumbat kerana cuaca hujan dan membuatkan tanah di pinggir rumah mudah terhakis,” katanya.
Menurutnya, stor penyimpanan peralatan di bengkelnya turut berisiko untuk runtuh berikutan sebahagian tanah di bawah tapaknya telah terhakis.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata pihak berwajib kini giat mengesan pergerakan tanah yang berisiko mengakibatkan runtuhan kediaman penduduk.
"Kita berharap pihak Jabatan Kerja Raya dapat melakukan pencegahan awal bagi mengelakkan tebing runtuh dan mengancam keselamatan penduduk yang tinggal di sekitar runtuhan Jalan Gua Musang-Jeli ini,” katanya. - Bernama