IPOH - Kerajaan Perak sedang bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang diramal berlaku 8 hingga 14 Disember ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, amaran banjir gelombang kedua diramal berlaku jika hujan lebat di bahagian Hulu Perak yang akan memberi kesan kepada Sungai Perak.
"Saya minta Pegawai Daerah Hulu Perak lihat (bersedia) sebab antara amaran gelombang kedua, daerah Hulu Perak jika hujan lebat ini di Temenggor, di Royal Belum sudah tentu Sungai Perak itu dilimpahi air.
"Mahu tidak mahu empangan akan melepaskan air keseluruhan sepanjang Sungai Perak itu akan banjir," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Tourism Perak Management Berhad dengan Rimba Adventures Sdn Bhd bagi penganjuran Rimba Raid di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Saarani turut meminta sukarelawan banjir di Perak bersedia agar tidak semua ke negeri lain membantu mangsa banjir.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah mangsa banjir di Perak ketika ini semakin menurun dan lebih ramai mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Mengenai prasarana yang terjejas akibat bencana, beliau menjelaskan setakat ini tiada maklumat diterima berkaitan isu tersebut.
Sehingga kini sebanyak lima daerah di Perak yang terjejas akibat banjir dengan lebih 300 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, penganjuran Rimba Raid yang dianjurkan pertama kali di Perak akan diteruskan selama tiga tahun berturut sehingga 2026.
Menurutnya, program tersebut mendapat permintaan daripada masyarakat setempat untuk dijadikan sebagai acara tetap setiap tahun.