Dakwaan 17 juta data MyKad bocor tidak benar - KDN

Iklan
Saifuddin Nasution (dua kanan) menyampaikan dokumen sijil kelahiran yang diperbaharui oleh JPN kepada mangsa banjir di PPS SK Bukit Tinggi, Jitra pada Rabu.

JITRA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak wujud insiden kebocoran data sebanyak 17 juta yang sebagaimana didakwa seorang pengguna laman X dikenali sebagai Fusion Intelligence Center @ StealthMole.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan telah dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bahagian keselamatan teknologi maklumat mendapati dakwaan tersebut tidak benar.

Iklan
Iklan

"Dakwaan itu timbul daripada seorang pengguna media sosial, dia pamerkan beberapa MyKad yang dia kata 17 juta, tapi pamer beberapa keping.

"Saya segera semak, pertama dengan JPN bahagian berkenaan yang kedua, dengan bahagian keselamatan teknologi maklumat, kedua-duanya mengesahkan tiada insiden itu," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan data kad pengenalan atau MyKad seramai 17 juta rakyat Malaysia yang didakwa bocor dan dijual di laman web gelap.

Pengguna laman X, Fusion Intelligence Center @ StealthMole mendakwa, sampel MyKad Malaysia telah dikongsi secara terbuka di laman web gelap berkenaan.

Iklan

Terdahulu, Saifuddin Nasution tiba di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, dekat sini bagi meninjau keadaan mangsa banjir.

Jelas Saifuddin, kerajaan memberi jaminan berkenaan integriti data terutamanya melibatkan maklumat penduduk di negara ini.

"Kita minta rakyat agar berhati-hati apabila menerima maklumat seperti ini.

"Mudah sekali sebar apabila tunjuk beberapa keping MyKad lepas tu kata 17 juta, lebih baik tidak disebarkan berita ini," ujarnya.