Pelajar universiti didenda ceroboh masuk sekolah antarabangsa

Iklan
Majistret turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima hari jika gagal membayar denda. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar universiti swasta didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki kad akses untuk menceroboh sebuah sekolah antarabangsa dengan memakai pakaian sekolah, bulan lepas.

Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammed Zayed Taher, 19, yang merupakan warga Bangladesh dan turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima hari jika gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki kad akses sekolah berkenaan yang mana tertuduh gagal memberikan keterangan munasabah bagaimana memperolehnya untuk masuk ke sekolah tersebut di Brickfields di sini pada jam 12.55 tengah hari, 29 November lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap oleh pengetua sekolah berkenaan kerana menceroboh masuk ke dalam sekolah itu dengan membuat penyamaran memakai pakaian sekolah.

Pengetua sekolah terbabit menyatakan kebimbangan wujud elemen pengantunan dalam talian (online grooming) yang melibatkan tertuduh dengan pelajar perempuan di sekolahnya.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh demi kepentingan keselamatan sekolah dan pelajar.

Mohammed Zayed yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan hukuman berbentuk denda sahaja. - Bernama