PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan menggantung Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) susulan isu tunggakan gaji dan pampasan bekas pengarah bola sepak pasukan itu, Matt Holland.
Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, Saaran Nadarajah berkata, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengarahkan PFA membuat bayaran sejak 2019 namun persatuan itu gagal melunaskannya.
"Jawatankuasa Eksekutif FAM telah bersetuju untuk menggantung PFA daripada menjadi ahli gabungan FAM sehingga PFA membuat pembayaran penuh seperti yang diarahkan oleh FIFA.
"Aduan telah dibuat oleh Holland selepas PFA gagal menjelaskan bayaran tersebut dan FIFA seterusnya menerusi surat bertarikh 11 November 2024 telah membuat keputusan terbaharu dengan PFA diarahkan untuk membayar sebanyak RM998,658 kepada Holland dan denda sebanyak AS$15,000 (RM67,000)," katanya.
Menurut Nadarajah, FAM yang dinamakan sebagai responden kedua turut dikenakan denda RM25,000 kerana gagal memastikan PFA mematuhi keputusan FIFA.
"Sekiranya tiada pembayaran dibuat PFA, tindakan boleh diambil oleh FIFA terhadap FAM sebagai responden kedua, antaranya sekatan terhadap peruntukan kewangan sebanyak 20 peratus daripada Program FIFA Forward (yang merupakan geran pembangunan daripada FIFA) sehingga selesai bayaran tersebut," katanya.
Beliau berkata, penggantungan tersebut dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM selain bagi mengelak FAM dikenakan tindakan lanjut oleh FIFA.
"Ia termasuk FAM perlu membayar semua bayaran yang harus dibayar oleh PFA dan sehingga boleh menyebabkan FAM dipertanggungjawabkan untuk kesemua hutang tersebut," katanya.