JOHOR BAHRU - Tiga kereta yang diparkir di tempat letak kereta awam di Taman Impian Emas di sini dilanggar sebuah lori yang dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian pada jam 9.30 malam itu membabitkan pemandu lori warga tempatan berusia 29 tahun.
"Ketika berada di tempat kereta terbabit, lelaki terbabit telah menggerakkan lorinya ke depan dan terus mengundurkan ke belakang sebelum melanggar tiga buah kereta yang berada di depan dan belakang lori.
"Ujian pernafasan yang dijalankan ke atas pemandu lori itu mendapati dia positif dengan kadar alkohol yang melebihi kadar ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk.
"Selain itu, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah lalu lintas 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.