BNM digesa jelaskan status kenaikan premium insurans perubatan

Iklan
Tze Tzin (tengah) mendedahkan mengenai kes seorang pesara wanita terpaksa menanggung kenaikan premium insurans sehingga 78 peratus dalam tempoh setahun ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Lima ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) tampil menjelaskan kekeliruan sama ada caruman premium insurans perubatan dan kesihatan akan naik seperti yang dirancang syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, keadaan sebenar mengenai perkara itu perlu diperjelaskan kerana ia boleh menjejaskan nama baik BNM sendiri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia kerana kebelakangan ini rakyat mengadu kepada wakil-wakil rakyat PKR tentang kenaikan caruman premium insurans perubatan dan kesihatan.

Kata beliau, dalam masa 14 hari mereka mendapat lebih 147 aduan melalui e-mel, telefon dan WhatsApp sekali gus menunjukkan kemarahan rakyat terhadap kenaikan mendadak premium insurans.

Iklan

"Pada 28 November lalu, BNM mengeluarkan kenyataan yang mengkehendaki ITO menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.

"Kenyataan ini disambut baik oleh rakyat kerana BNM sudah mendengar suara hati mereka dan rakyat mengharapkan pembelaan BNM adalah badan kawal selia kepada semua ITO di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan.

Iklan

"Bagaimanapun pada 3 Disember lalu Persatuan Insurans Hayat Malaysia yang mewakili ITO telah mengumumkan bahawa kenaikan insurans akan dikekalkan. Ini jelas bercanggah dengan kenyataan BNM,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Empat lagi wakil rakyat PKR yang membuat gesaan tersebut ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari; Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Phuah; Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Mun.

Berikutan itu, Tze Tzin turut meminta BNM memaklumkan sama ada akan mengambil tindakan ke atas ITO yang mengingkari arahan dikeluarkan.

Kata beliau, kenaikan premium insuran tersebut amat membebankan rakyat kerana dalam satu aduan yang diterima, seorang pesara wanita berusia 74 tahun yang setia mencarum selama 18 tahun menanggung kenaikan premium insurans tahunan dari RM2,816 pada 2014 hingga ke RM10,815 pada 2024.

"Dari 2023 hingga 2024 pula, (premium insurans) naik mendadak sebanyak 78 peratus dalam setahun. Jika kenaikan 78 peratus ini berterusan setiap tahun, dalam tiga tahun sahaja pada 2027 beliau akan mencarum RM60,994, melebihi jumlah yang diinsuranskan RM60,000.

"Ini amat tidak adil kepada seorang warga emas, pesara wanita yang tidak bekerja lagi. Bagaimanakah beliau mahu membiayai premium insurans yang naik mendadak tetapi jumlah yang diinsuranskan adalah sama dan semakin kurang nilai sebenarnya,” ujarnya.

Justeru, Tze Tzin mendesak dilakukan reformasi ke atas sektor pembiayaan insurans perubatan dan kesihatan untuk melahirkan model pembiayaan yang mampan kepada semua pihak.

Sementara itu, Mohammed Taufiq berkata, BNM sepatutnya tidak hanya mengeluarkan kenyataan umum tetapi perlu mengawal selia dan memastikan bahawa reformasi tersebut benar-benar dilakukan.

"Jika ramai pencarum berhenti mencarum dan pergi ke hospital kerajaan maka ini akan membebankan hospital kerajaan yang sekarang ini didominasi mereka yang tidak mempunyai biaya cukup untuk rawatan,” kata beliau.