'Mungkin ambil masa lebih sebulan untuk dibaiki'

Iklan
Laluan Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Jeli di Gua Musang yang runtuh akibat hujan lebat pada Jumaat lalu berkemungkinan mengambil masa lebih sebulan sebelum dibuka semula untuk kegunaan orang luar.FOTO SINAR HARIAN-HAZELEN LIANA KAMARUDIN

GUA MUSANG - Kerja pembaikan laluan Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Jeli di sini yang runtuh akibat hujan lebat Jumaat lalu berkemungkinan mengambil masa lebih sebulan sebelum boleh dibuka semula untuk kegunaan orang ramai.

Laluan Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Jeli di Gua Musang ditutup kepada semua kenderaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani berkata, ketika ini beliau berusaha untuk mempercepatkan pembinaan jambatan Bailey supaya laluan tersebut kembali berfungsi dengan baik.

Iklan
Iklan

"Dari segi soal reka bentuk, saya serahkan kepada JKR (Jabatan Kerja Raya) yang arif dalam soal tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut beliau, runtuhan itu menyebabkan lebih 3,000 penduduk dari lapan mukim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri termasuk Orang Asli dari Pos Pulat dan Kuala Wook terjejas.

Iklan
Jalan alternatif untuk penduduk setempat dijangka siap dalam masa seminggu lagi.FOTO SINAR HARIAN-HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Ujarnya, sebagai langkah awal beliau sedaya upaya berusaha untuk menyiapkan terlebih dahulu laluan alternatif untuk kegunaan penduduk setempat terutama jika berlaku kecemasan.

Mohd Azmawi Fikri memberitahu, tindakan segera itu penting kerana tidak mahu urusan penduduk untuk ke hospital dan klinik terjejas termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Iklan
Sebagai langkah awal, laluan alternatif untuk kegunaan penduduk setempat akan dibuka bagi memudahkan urusan jika berlaku kecemasan.FOTO SINAR HARIAN-HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Beliau berharap pembinaan laluan sementara itu dapat disiapkan dalam tempoh seminggu.

Orang ramai menghampiri kawasan runtuhan untuk melihat kerja-kerja membaik pulih. FOTO SINAR HARIAN-HAZELEN LIANA KAMARUDIN

"Untuk makluman semua, saya telah berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempercepatkan proses pembinaan jambatan Bailey.

"Alhamdulillah, Timbalan Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan itu. Jadi, saya rakam ucapan terima kasih kepada Ketua Jajahan Gua Musang (Nik Raisnan Daud ) yang turut berusaha bagi memastikan usaha ini lancar," katanya.