IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali lagi kecoh apabila penjelasan isu kibaran bendera negara China dibawa Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Rabu.
Kah Leong ketika ucapannya membidas Ketua Pembangkang, Razman Zakaria yang didakwa memfitnahnya dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming terlibat dengan insiden kibar bendera China dalam insiden di Dataran Menara Condong, Teluk Intan baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan dakwaan kononnya terdapat warga tempatan yang terlibat memegang bendera negara China ketika insiden itu berlaku juga tidak benar sebaliknya individu dimaksudkan memegang bendera tokong.
"Gunung Semanggol (Razman) pula sebarkan fitnah terbaru dalam Dewan yang mulia ini dengan katakan bahawa ada bukti terbaru yang tunjukkan ada warganegara Malaysia yang angkat bendera China.
"Ingin saya ingatkan Gunung Semanggol bahawa bukannya semua bendera merah tu bendera China, ada yang merupakan bendera tokong, perbaikilah pengetahuan awam dulu sebelum buatkan tohmahan," katanya ketika berucap ketika menggulung perbahasan berkenaan.
Sejurus itu beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antaranya Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi), Mohd Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting), Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama) dan beberapa wakil rakyat pembangkang yang lain bangun mempersoalkan jawapan tersebut.
Razman turut bangun mempertahankan diri sebelum situasi di dalam Dewan terus hangat dengan balasan hujah daripada beberapa ADUN kerajaan.
Antara wakil kerajaan yang bangun mempertahankan Kah Leong ialah Jason Ng Thien Yong (PH-Astaka), Steven Tiw Tee Siang (PH-Tronoh), Jenny Choy Tsi Jen (PH-Canning) dan beberapa ADUN lain.
Perang mulut antara kedua-dua blok berlangsung lebih 15 minit sebelum ditenangkan Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang meminta ADUN Pasir Bedamar segera menamatkan ucapan penggulungan berkenaan.
Isnin lalu, DUN Perak kecoh mengenai insiden kibaran bendera negara China yang tular berlaku di Dataran Menara Condong pada September lalu.
Perkara itu pada awalnya dibangkitkan Razman yang mahu isu tersebut disiasat dengan lebih mendalam kerana mendakwa individu mengibarkan bendera negara China itu merupakan warga tempatan.