KUANTAN - Beberapa jalan utama di Bandaraya Kuantan akan ditutup kepada kenderaan bagi memberi laluan kepada program larian Kuantan Car Free Day pada Ahad ini.
Menerusi satu hebahan di Facebook Polis Trafik Kuantan, ia melibatkan Jalan Tanah Putih di kedua-dua hala bermula dari lampu isyarat Tanah Putih sehingga ke lampu isyarat Esplanade.
Selain itu, Jalan Mat Kilau dan Jalan Penjara menuju ke Jalan Mahkota serta Jalan Besar turut terlibat.
Penutupan jalan akan bermula seawal jam 6 pagi sehingga acara tersebut selesai.
Menurut hantaran itu, sebagai langkah alternatif, pihak berkuasa telah menyediakan laluan lencongan untuk pengguna jalan raya.
Jelasnya, kenderaan dari arah Gambang akan dilencongkan ke Jalan Dato Wong Ah Jang dan Jambatan Putra, manakala mereka yang datang dari Jalan Besar akan diarahkan melalui Jalan Penjara dan Jalan Mahkota.
Alternatif lain yang disarankan termasuk Kuantan Bypass, Jambatan Putra, serta Jalan Teluk Cempedak dan Jalan Gambut untuk pengguna dari arah Tanjung Lumpur.