Mayat lelaki tanpa identiti ditemui tepi sungai

Iklan
Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui berhampiran Sungai Keruwin, Jalan Kota Bharu-Malim Nawar pada Selasa. Foto hiasan (Gambar kecil: Mohamad Nazri)

KAMPAR - Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui berhampiran Sungai Keruwin, Jalan Kota Bharu-Malim Nawar di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada orang awam pada jam 6.15 petang.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati mayat lelaki tersebut ditemui dalam keadaan tertiarap tanpa sebarang maklumat pengenalan diri.

"Mayat tersebut dianggarkan berusia 60-an, berkulit gelap dengan tinggi sekitar 170 sentimeter. Mangsa memakai baju T berkolar warba biru gelap dan berseluar jeans biru cerah.

Iklan

"Selain itu, mangsa yang mempunyai rambut berwarna hitam dan nipis di bahagian belakang serta tidak mempunyai dua gigi kapak," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, mayat tersebut dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Iklan

"Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kematian mangsa berpunca daripada lemas.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Tambah Mohamad Nazri, mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat juga boleh menghubungi Balai Polis Kota Bharu di talian O5-3593222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di talian 05-4652222.