KEMAMAN - Seramai 100 asnaf dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan Air Putih di sini menerima bantuan zakat berjumlah RM86,400 menerusi Wakalah Potongan Zakat Berjadual (PZB) Kakitangan Jasa Merin Malaysia Sdn Bhd.
Penolong Setiausaha (Promosi) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Muhamad Syarif Omer berkata, penyerahan zakat itu berlangsung di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini baru-baru ini.
"Program ini dianjurkan bagi memberi bantuan kepada asnaf yang memerlukan bantuan kewangan.
"Di samping itu, ia juga salah satu kewajipan organisasi untuk membantu dalam kebajikan dan kebaikan kepada masyarakat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, agihan zakat itu dapat mengeratkan silaturahim dan mewujudkan kesedaran, keinsafan serta rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim dalam memenuhi rukun Islam keempat
Katanya, sebanyak RM600 diagihkan kepada penerima individu, RM800 kepada isi rumah dua hingga tiga orang dan bantuan RM1,000 diberi kepada isi rumah empat orang ke atas.
"Program ini diadakan bagi memenuhi keperluan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat.
"Sepanjang pelaksanaan program ini, kakitangan Jasa Merin akan bekerjasama dengan Kelab Sukan Jasa Merin bagi memastikan agar program ini berjalan lancar," kata beliau.
Menurutnya, program berlangsung pada 28 November lalu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Jasa Merin Malaysia Sdn Bhd, Abdul Rahman Abdullah serta turut dihadiri Pengerusi Jasa Merin Malaysia Sdn Bhd, Datuk Mokhtar Nong.
Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapan pada majlis itu berkata, program tersebut kali kedua diadakan oleh syarikat berkenaan hasil potongan zakat berjadual kakitangannya kepada MAIDAM.
"Kita menggalakkan agar kakitangan syarikat dapat meneruskan usaha murni tersebut selepas ini.
"Saya juga merakam penghargaan dan terima kasih kepada MAIDAM atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program ini," ujarnya.