Ibu tunggal didakwa guna wang palsu RM5,160

Iklan

SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan menggunakan wang palsu berjumlah RM5,160, pada Ogos dan September lepas.

Nur Shasha Nabila Zamani, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, ibu kepada empat anak itu didakwa menggunakan mata wang palsu sebagai tulen iaitu 25 keping RM100, RM50 (lapan) dan RM20 (tiga) dengan pelbagai nombor siri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang pada jam 11.11 malam, 4 September lepas.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa melakukan kesalahan sama, iaitu menggunakan 22 wang palsu bernilai RM100 sebagai tulen di Jalan Kosas 3/5 Taman Kosas di Ampang pada 11.45 malam, 20 Ogos lalu.

Iklan

Dia dituduh di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sama.

Dalam pada itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan, menipu seorang lelaki dengan memberikan mata wang palsu 22 keping RM100 sebagai tulen dan menyebabkan mangsa menyerahkan telefon bimbit jenis Samsung Flip 4 kepada wanita itu di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin Abdul Rahman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Sarabmeet Singh yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan jaminan rendah kerana tidak bekerja.

"Anak guam saya merupakan ibu tunggal kepada empat anak berusia antara satu hingga lapan tahun.

"Anak bongsunya mengidap penyakit kanser, maka kami rayu jumlah jaminan itu dikurangkan," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhamad Anas membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 19 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.