KLANG - Masjid Jamek Cina Muslim Klang yang merupakan cetusan idea Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bakal dirasmikan Khamis ini.
Menerusi kemas kini di Facebook Selangor Royal Office, seni bina masjid terletak di Bandar Botanik itu diilhamkan menerusi reka bentuk salah sebuah masjid di daerah Xi’an, China.
Menurutnya, baginda berangkat ke China pada 2015 dan berkesempatan melawat masjid di bandar Xi’an yang merupakan antara masjid tertua di China.
"Tertarik dengan sejarah dan seni reka masjid berkenaan, baginda memasang impian agar sebuah masjid berkonsepkan seni bina yang hampir serupa untuk didirikan di negeri Selangor dan dijadikan sebagai masjid Cina Muslim.
"Baginda juga telah mencadangkan agar pihak kerajaan Selangor mengadakan lawatan ke Xi’an bagi mengambil ilham seni bina masjid berkenaan," menurut perkongsian pada Rabu.
Ujar kenyataan itu, Masjid Jamek Cina Muslim itu siap dibina pada 11 Julai 2024 dan dibuka secara rasmi pada 22 Ogos lalu.
Katanya, lokasinya berada di Bandaraya Diraja Klang yang turut terletak Masjid Diraja Sultan Sulaiman di Kampung Jawa serta rumah-rumah ibadat agama selain Islam seperti tokong, kuil, gereja serta Gurdwara Sahib.
"Adalah menjadi hasrat baginda, dengan terbinanya rumah-rumah ibadat pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang ini, akan dapat membentuk persefahaman serta perasaan hormat-menghormati di antara penganut pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang khususnya dan di negeri Selangor amnya," katanya.