PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya membantu kerajaan Singapura bagi menahan seorang taikun berprofil tinggi yang telah melarikan diri selama 19 tahun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memainkan peranan penting dalam membantu pihak berkuasa Singapura menahan taikun dikehendaki tersebut.
Beliau berkata, operasi penahanan itu bermula apabila Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura mengemukakan permohonan bantuan kepada SPRM bagi mengesahkan dan mengesan suspek-suspek yang terlibat.
Pada April lalu, kata beliau, Pengarah CPIB telah melawat ibu pejabat SPRM untuk membincangkan kes tersebut secara terperinci.
"Susulan mesyuarat tersebut, CPIB menghantar permohonan rasmi untuk pelaksanaan waran tangkap bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621) dan Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 (Akta 25).
"Sebelum pelaksanaan waran, pasukan risikan SPRM telah mengumpulkan maklumat penting termasuk foto pemantauan dan butiran peribadi suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, analisis lanjut oleh CPIB menggunakan teknologi pengecaman wajah menunjukkan kemungkinan 70 peratus bahawa salah seorang individu adalah suspek yang dicari.
Dengan kerjasama SPRM, katanya, lokasi serta butiran peribadi suspek termasuk nombor pasport dan telefon berjaya dikesan.
Susulan itu menurutnya, pejabat SPRM Johor telah melaksanakan tangkapan dirancang.
Tegas beliau, kejayaan itu menandakan kemuncak kepada operasi menyeluruh yang melibatkan pengumpulan risikan, pemantauan serta kerjasama erat antara agensi.
"Operasi ini menunjukkan komitmen SPRM melalui Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara (FOMIA) terhadap kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah dan jenayah rentas sempadan.
"Ia sekali gus menunjukkan kepentingan perkongsian maklumat risikan, pemantauan serta kolaborasi agensi dalam menegakkan keadilan," ujarnya.
Ringkasan berita:
- SPRM bantu kerajaan Singapura tangkap taikun yang telah melarikan diri selama 19 tahun.
- SPRM mainkan peranan penting setelah CPIB Singapura meminta bantuan untuk mengesan dan menangkap suspek.
- April lalu, Pengarah CPIB kunjungi ibu pejabat SPRM untuk bincangkan kes dan permohonan rasmi dihantar untuk pelaksanaan waran tangkap berdasarkan undang-undang bantuan bersama.
- Analisis teknologi pengecaman wajah dan pengumpulan maklumat risikan membawa kepada pengesanan lokasi dan butiran peribadi suspek, termasuk nombor pasport dan telefon.
- SPRM Johor melaksanakan tangkapan selepas maklumat diperoleh.