SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengharapkan kesemua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan menyokong dan menerima Rang Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.
Presidennya, Musa Awang berkata, ini kerana pindaan kedua-dua RUU itu akan memperkukuhkan aspek pengurusan dan pentadbiran Mahkamah Syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, pada masa sama ia juga dapat menguatkan aspek penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam di kawasan yang sama.
"Pindaan-pindaan yang dicadangkan ini akan memberikan kebaikan, manfaat dan memudahkan urusan masyarakat Islam di Mahkamah Syariah khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
"Antara cadangan pindaan-pindaan tersebut Seksyen baharu 40A yang membolehkan seseorang hakim atau pendaftar Mahkamah Syariah menjalankan suatu prosiding bagi kes mal melalui teknologi komunikasi jarak jauh.
"Seksyen baharu 57b pula akan memberi kuasa kepada Ketua Hakim Syarie untuk mengeluarkan apa-apa arahan amalan sebagaimana yang perlu bagi maksud melaksanakan peruntukan Akta 505 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang berhubungan dengan tatacara mal Mahkamah Syariah, jenayah Syariah, keluarga Islam dan keterangan Syariah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pindaan kedua-dua Rang Undang-undang (RUU) itu dijangka akan dibentang untuk bacaan kali kedua pada Khamis 5 Disember 2024.
Tambah Musa, dalam aspek tatacara mal, cadangan meminda seksyen 3 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Akta 585) juga untuk membolehkan takrif baharu 'teknologi komunikasi jarak jauh' dimasukkan dan dilaksanakan.
Jelasnya, cadangan pindaan seksyen 34 Akta 585 iaitu berhubung wakalah Peguam Syarie sudah pasti akan memudahkan proses pelantikan Peguam Syarie di Mahkamah Syariah.
"Pelantikan dan penerimaan n boleh dilafazkan antara pihak-pihak dengan Peguam Syarienya dalam Borang MS 5 dan hendaklah difailkan di Mahkamah.
"Menerusi pindaan ini, pihak-pihak dan Peguam Syarienya itu tidak lagi perlu hadir di hadapan Pendaftar mahkamah untuk melafazkan wakalah.
"Pindaan kepada seksyen 100 Akta 585 juga untuk mengadakan peruntukan bagi penerimaan keterangan melalui teknologi komunikasi jarak jauh, sesuai dengan perkembangan teknologi semasa dan arus kemodenan," jelasnya.