KUALA LUMPUR - Pelaksanaan cukai dividen mulai 1 Januari depan dijangka tidak mengakibatkan pemindahan dana pelaburan yang signifikan ke luar negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, cukai baharu itu diramal tidak memberi impak yang besar kepada pasaran saham dan tidak menjejaskan transaksi pelaburan di Malaysia.
"Cukai dividen pada kadar dua peratus yang dikenakan adalah rendah berbanding negara lain yang juga mengenakan cukai ke atas pendapatan pelaburan seperti United Kingdom (UK) dengan kadar sehingga 39.35 peratus.
"Kadar cukai yang rendah ini juga dijangka tidak mengakibatkan perubahan besar dalam strategi pelaburan di kalangan pelabur atau membawa kesan terhadap pasaran modal dan transaksi pelaburan di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula 2025.
Beliau berkata, ia dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, sejak pengumuman cadangan pelaksanaan cukai dividen tersebut tiada reaksi ketara dari segi pergerakan atau prestasi Bursa Malaysia yang menjurus ke arah sebarang kehilangan minat pelabur.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, anggaran kutipan hasil tambahan daripada pengenaan cukai dividen itu nanti dijangka mengambil masa.
"Kerajaan sedang dalam proses menganalisis anggaran hasil tambahan yang boleh dikutip daripada pengenaan cukai dividen.
"Anggaran ini mengambil masa kerana terdapat keperluan kepada Kementerian Kewangan untuk menentukan data-data pembayaran dividen daripada pelbagai sumber. Anggaran tambahan hasil ini yang telah dimuktamadkan akan diumumkan berdasarkan keperluan,” ujarnya.