Kerajaan terbuka perluas suruhanjaya bebas agensi lain seperti IPCC

Iklan
Saifuddin Nasution (duduk dua kiri) semasa turun melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi dekat Jitra pada Rabu.

JITRA - Kerajaan terbuka menubuhkan dan memperluaskan suruhanjaya bebas kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini Akta IPCC yang diluluskan pada 2022 khusus untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, akta tersebut telah mula dikuatkuasakan pada julai tahun lalu.

"Akta IPCC 2022 khusus untuk polis walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut ketika menjadi Ketua Pembangkang beliau berharap suruhanjaya itu bukan untuk polis sahaja, bahkan semua agensi penguatkuasa lain kerana tak mahu polis terasa mereka sahaja jadi sasaran.

Iklan

"Tetapi bercakap mengenai tatakelola dan integriti harus meliputi semua agensi, namun keputusan ketika itu adalah dahulukan dengan IPCC.

"Jadi pentadbiran sekarang kita putuskan akta yang diluluskan itu dan mula berkuatkuasa 1 Julai tahun lalu untuk polis dan ke depan nanti jika ada ruang kita tambah baik dengan agensi lain, kerajaan sentiasa terbuka,” katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas turun melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, dekat sini.

Pada Selasa, media melaporkan IPCC menerima 529 aduan selepas lebih setahun Akta IPCC 2022 (Akta 839) dikuatkuasakan pada 1 Julai tahun lalu.

Aduan diterima setakat 22 November lalu merangkumi tiga kategori, iaitu rasuah yang disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes jenayah yang kemudian dirujuk PDRM serta tatakelakuan anggota yang disiasat IPCC.

IPCC menjalankan peranannya berdasarkan segala aduan oleh mana-mana pihak, termasuk orang awam dan kemudian mencadangkan tindakan yang wajar diambil dalam usaha menambah baik perkhidmatan PDRM.