PAPAR - Rakyat Sabah, Hanalin Datu Harun, 39, yang meninggal dunia di Korea Selatan pada 24 November lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belud Sadok, Pekan Kinarut di sini.
Upacara pengebumian selesai sekitar jam 3 petang disempurnakan oleh ahli keluarga, penduduk kampung dan kenalan rapat arwah.
Sebelum itu, jenazah Hanalin tiba dari Korea Selatan melalui penerbangan Malaysia Airlines sekitar jam 12.50 tengah hari itu dibawa terus ke Masjid Hikmah Kampung Tengah Pekan Kinarut untuk solat jenazah.
Menurut adiknya, Normah, 36, arwah kakaknya telah selamat dikebumikan dan semua urusan telah dipermudahkan.
"Alhamdulillah selesai sudah, kami bersyukur betul dengan keadaan cuaca yang baik hari ini," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Hanalin sempat dihantar ke Hospital Asan Chungmu di Wilayah Chungcheong Selatan bagi mendapatkan rawatan namun akhirnya disahkan meninggal dunia oleh doktor.
Ahli keluarga yang buntu dengan kos membawa pulang jenazah cuba mendapatkan bantuan daripada orang awam untuk menampung kos penerbangan jenazah Hanalin untuk dikebumikan di daerah kelahirannya di Papar.