Menteri Pertahanan Korea Selatan letak jawatan

Iklan
Yong-Hyun turut memohon maaf kerana menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan kepada orang ramai. - Foto: Agensi

ANKARA - Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Yong-Hyun pada Rabu menawarkan peletakan jawatan selepas Presiden Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera singkat yang menggemparkan seluruh negara.

Stesen penyiar KBS melaporkan keputusan itu dibuat selepas pegawai kanan Presiden mengambil langkah sama.

Iklan
Iklan

Yong-Hyun berkata, beliau sedia melepaskan jawatannya atas rasa tanggungjawab terhadap semua perkara berkaitan undang-undang darurat tersebut.

"Saya memohon maaf kerana menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan kepada orang ramai," lapor Yonhap News memetik kenyataannya.

Iklan

Difahamkan, Yong-Hyun telah mencadangkan secara terus kepada Suk Yeol untuk melaksanakan undang-undang kontroversi tersebut.

"Undang-undang tentera sudah ditarik balik dan penduduk kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Tetapi, situasi politik dan keselamatan bukanlah perkara yang mudah.

Iklan

"Kementerian Pertahanan Negara mengambil serius situasi tersebut akan membuat setiap usaha untuk menguruskan isu-isu mendesak secara stabil di samping memastikan tiada gangguan kepada operasi pertahanan negara," ujarnya lagi.

Pada awal Rabu, Pejabat Presiden mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai melibatkan ketua turus dan setiausaha kanan setelah tindakan Suk Yeol mencetuskan pergolakan politik di Seoul.

Undang-undang tentera itu diumumkan pada jam 10.25 malam (waktu tempatan) sebelum ditarik balik pada jam 4.27 pagi setelah proses undian dibuat Parlimen menentang pelaksanaannya. - AA

Ringkasan berita:

  • Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Yong-Hyun, letak jawatan pada Rabu.
  • Ia selepas pengumuman Presiden Yoon Suk Yeol mengenai undang-undang tentera yang cetuskan kekeliruan di negara itu.
  • Yong-Hyun mohon maaf dan menyatakan tanggungjawabnya terhadap keputusan itu.
  • Yong-Hyun sebelumnya mencadangkan kepada Presiden Suk Yeol untuk laksanakan undang-undang tentera tersebut, yang akhirnya ditarik balik setelah tentangan dalam Parlimen.
  • Undang-undang tentera diumumkan pada 10.25 malam dan ditarik balik pada 4.27 pagi selepas undian Parlimen menentang pelaksanaannya.
  • Pejabat Presiden juga umum peletakan jawatan ramai pegawai kanan selepas pengumuman undang-undang tentera itu mencetuskan pergolakan politik di Seoul.
Dijana oleh AI