SHAH ALAM - Komitmen kerajaan menangani jenayah rasuah dalam negara mampu menarik minat pelabur asing untuk melabur sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Kedah, Mohd Syahir Ismail berkata, perkara tersebut boleh dicapai sekiranya kerajaan benar-benar menumpukan usaha membanteras rasuah.
"Berkenaan kes-kes yang masih berlaku dalam negara kita, perkara tersebut tidak akan menjejaskan atau ditertawakan oleh negara lain.
"Ia disebabkan usaha dan langkah membanteras rasuah ini memang berterusan, bukan retorik atau propaganda semata-mata. Itu semua sudah terbukti sekarang melalui kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan ekonomi yang semakin baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai usaha kerajaan Madani memerangi rasuah membuahkan hasil sehingga menerima pujian daripada pemimpin antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disuarakan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra ketika pertemuan sempena mesyuarat pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima bulan lalu.
Dalam pada itu, Mohd Syahir memaklumkan, usaha yang dibuat oleh kerajaan juga telah membuka mata negara luar untuk mencontohi Malaysia dalam hal tadbir urus negara.
"Memang tidak dinafikan rasuah masih berlaku, namun kita perlu berterima kasih dan menghargai usaha berterusan daripada kerajaan yang bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Semoga nanti akhirnya jenayah itu dapat dikurangkan dan masyarakat terdidik serta mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjauhi gejala rasuah ini,” ujarnya.
Menurutnya, dengan cara membanteras habis-habisan, jenayah tersebut mampu meletakkan Malaysia mencapai tangga ke-25 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh kurang dari 10 tahun.