KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Dewan Negara mencadangkan supaya kerajaan melakukan pelaksanaan gaji minimum mengikut lokaliti berbanding konsep blanket approach di seluruh negara seperti yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lepas.
Senator Datuk Seri Dr. Zurainah Musa berkata, penetapan gaji minimum mengikut lokaliti telah pun berjaya dilaksanakan di Indonesia sebelum ini.
"Cuba laksanakan gaji minimum mengikut daerah dan negeri, kerana setiap lokaliti itu mempunyai kos sara hidup berbeza. Jadi, kita cuba selaraskan kerana gaji minimum di Kuala Lumpur (RM1,700) mungkin tidak cukup, tetapi di pedalaman mungkin mencukupi.
"Mohon kerajaan teliti perkara ini kerana dalam hal penyasaran subsidi, kita mengambil kira kos sara hidup dan tanggungan keluarga. Mengapa penentuan gaji minimum tidak boleh?” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Negara hari ini.
Mengulas perkara sama, Senator Datuk A. Kesavadas, yang mencadangkan kerajaan mencontohi kaedah yang dilaksanakan di New Jersey, Amerika Syarikat dengan menetapkan kadar gaji minimum dinaikkan berperingkat setiap tahun sejak 2011.
Malaysia boleh cuba bermula tahun depan dengan menaikkan gaji minimum kepada RM1,600 dahulu, seterusnya dinaikkan lagi sebanyak 6.6 peratus setiap tahun selama lima tahun.
"Jadi, pada tahun 2026, ia akan naik kepada RM1,696, diikuti RM1,797 pada 2027, RM1,904 pada 2028, sehingga akhirnya mencecah RM2,018 pada tahun kelima. Kaedah ini membolehkan majikan lebih mampu,” katanya sambil menjelaskan cadangan kenaikan 6.6 peratus itu adalah atas perkiraan dua kali ganda kadar inflasi ketika ini.
Selain pelaksanaan gaji minimum, Kesavadas turut mencadangkan supaya kerajaan memberi pengecualian kepada perniagaan mikro dengan pendapatan di bawah RM500,000 setahun.
Turut dibangkitkan dalam sesi perbahasan ialah cadangan kepada kerajaan agar mewujudkan satu mata pelajaran khusus mengenai digital di peringkat awal persekolahan.
Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, ini perlu bagi mempersiapkan generasi muda dengan cabaran digital pada masa depan melalui kurikulum yang bersesuaian.
Cadangan beliau kemudian disokong oleh Zurainah dengan mengatakan usaha itu tidak sukar dilaksanakan memandangkan anak-anak muda kini celik gajet, sekali gus memudahkan mereka mengadaptasi terhadap pembelajaran digital.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama