ATM, UPNM jamin keselamatan pelajar jadi keutamaan

Iklan

SHAH ALAM - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberi jaminan bahawa kesejahteraan dan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

ATM dalam kenyataan berkata, ia merangkumi penyediaan saluran bagi pelajar melaporkan sebarang gangguan atau ancaman dan pemberian sokongan psikologi kepada mangsa penganiayaan.

Iklan
Iklan

Ujarnya, langkah tersebut merupakan antara tindakan jangka masa panjang yang dilaksanakan oleh ATM bagi menangani kes penganiayaan yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM.

"ATM dan UPNM akan memperkukuh kerjasama dengan KPT dan badan-badan pendidikan lain bagi memastikan mutu dan standard etika yang tinggi terus dikekalkan dalam sistem latihan ketenteraan di institusi tersebut.

Iklan

"Selain tindakan disiplin tegas mengikut Akta Angkatan Tentera (AAT) 1972, segala keputusan berkaitan salah laku yang dibawa ke Lembaga Komandan akan diselaraskan dan dipersetujui bersama pihak UPNM selaras dengan Akta Universiti serta Kolej Universiti (AUKU) 1971,” katanya pada Rabu.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Selasa menitahkan supaya budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu dihentikan serta-merta.

Iklan

Menurut kenyataan itu, usaha ATM juga merangkumi penganjuran kempen kesedaran, pengisian bagi memenuhi perjawatan di ALK terutamanya bagi jawatan jurulatih dan peruntukan perbelanjaan untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua aras blok penginapan pegawai kadet.

Tambahnya, ATM terus menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pengurusan universiti bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap individu terlibat dalam sebarang perlakuan penganiayaan melibatkan pegawai kadet.

"Mengambil tindakan disiplin tegas terhadap pegawai kadet yang didapati bersalah dalam kes penganiayaan termasuk pemberhentian, penggantungan atau hukuman lain yang selaras dengan peraturan dan etika ATM.

"ALK telah menambah pemasangan 21 CCTV baharu di blok penginapan pegawai kadet, menjadikan jumlah keseluruhan CCTV di sembilan blok penginapan sebanyak 38 unit, termasuk 17 CCTV sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan dan memperkukuh tahap keselamatan,” ujarnya.

ATM turut menempatkan penginapan pegawai kadet Tahun Satu di Bukit Putera, manakala pegawai tahun lain ditempatkan di blok penginapan UPNM.

"ALK sedang meningkatkan mekanisme pemantauan dengan mengasingkan kerja pegawai bertugas pasukan yang kini hanya melaksanakan tugas rutin pasukan.

"Penugasan ketua jurulatih bertugas diwujudkan bagi memantau secara khusus pegawai kadet,” menurutnya.