Kerja banyak tak sempat 'renew' lesen - Pemandu lori

Iklan
Anggota JPJ bertugas menjalankan pemeriksaan ke atas lori yang ditahan dalam Ops Kenderaan Berat Bersepadu di Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan di sini, Jumaat lalu.

SABAK BERNAM - Tidak sedar lesen memandu telah tamat tempoh selain mendakwa tidak sempat antara alasan diberikan pemandu lori yang ditahan dalam Ops Kenderaan Berat Bersepadu di Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan di sini, Jumaat lalu.

Selain itu, terdapat juga pemandu yang turut dikesan tidak memakai tali pinggang keledar dengan alasan terlupa ketika ditahan.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi dijalankan bermula jam 8 malam itu turut disertai anggota Bahagian Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

"Operasi dijalankan secara statik itu melibatkan pemeriksaan sebanyak 65 buah kenderaan terdiri daripada kenderaan berat, kereta serta motosikal.

Iklan

"Sejumlah 57 notis saman dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan antaranya tiada lesen memandu serta cukai jalan, lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh dan pelbagai kesalahan teknikal," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, lokasi operasi dipilih berdasarkan kekerapan kemalangan yang berlaku sebelum ini.

Iklan

"Jumlah saman paling tinggi dikeluarkan melibatkan kesalahan antaranya berkaitan lesen memandu, cukai jalan dan tidak memakai tali pinggang keledar.

"Terdapat juga pengguna didapati pada awalnya tidak mahu memberikan kerjasama ketika ditahan namun dengan kecekapan anggota JPJ bertugas, ia dapat ditangani dengan lancar," katanya.

Menurutnya, operasi ini dilaksanakan bagi memberi perhatian dan pemantauan secara berterusan melibatkan semua jenis kenderaan.

"JPJ Selangor menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan ke atas kenderaan perdagangan dari masa ke masa.

"Pemandu dan pengusaha kenderaan perdagangan diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan," katanya.