SHAH ALAM - Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi perkhidmatan tren penumpang di laluan Pantai Timur kembali beroperasi sepenuhnya bermula Rabu.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan paras air antara Pasir Mas dan Tanah Merah (KM 490.00-KM 492.75) yang sudah surut sejak Isnin.
"Pengoperasian semula ini diambil kira setelah pihak Kejuruteraan Landasan KTMB menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap landasan dan laluan bagi memastikan perkhidmatan tren selamat untuk beroperasi.
"Tren Ekspres Rakyat Timuran Nombor 26 dan Nombor 27 laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral akan beroperasi semula pada hari Khamis iaitu 5 Disember 2024.
"Manakala perkhidmatan tren Shuttle Timuran telah mula beroperasi pada 3 Disember bagi laluan Kuala Lipis-Tumpat-Kuala Lipis," katanya pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, KTMB membatalkan 12 laluan perkhidmatan tren Pantai Timur susulan banjir yang melanda sejak 5 November lalu.
Ujarnya, antara laluan yang terlibat ialah JB Sentral-Tumpat, Tumpat-JB Sentral, Gemas-Kuala Lipis, Kuala Lipis-Gemas, Tumpat-Kuala Lipis dan Kuala Lipis-Tumpat (bermula di Gua Musang).
Seterusnya, Gua Musang-Tumpat (tamat di Dabong), Tumpat-Gua Musang, Tumpat-Dabong, Tumpat-Gua Musang dan Kuala Lipis-Tumpat (ditamatkan di Gua Musang).
Dalam pada itu, kenyataan tersebut memaklumkan, pada Isnin KTMB turut menyediakan perkhidmatan tren terhad dari Stesen Bukit Abu, Kuala Gris ke Stesen Dabong bagi memudahkan pelajar menghadiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tambahnya, KTMB akan terus memantau keadaan di kawasan berisiko dengan merujuk ramalan terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan bekerjasama rapat bersama agensi berkaitan untuk memastikan semua operasi tren berjalan dengan lancar serta selamat.
"Bagi penumpang yang terkesan bagi perjalanan ke Pantai Timur bermula 27 November sehingga 4 Disember, tempoh pemulangan tambang dilanjutkan sehingga 30 hari daripada tarikh perjalanan.
"Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200, melayari laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau mengikuti saluran media.