SERDANG - Seramai empat wanita ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes samun di Serdang Perdana, di sini, pada 28 November lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, dalam kejadian pada jam 11 pagi, tiga wanita menaiki sebuah kereta telah datang ke rumah pengadu.
"Pengadu berusia 69 tahun mendakwa suspek memberitahu berkenaan pinjaman dan bantuan khas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Anbalagan berkata, suspek kemudian telah mengajak pengadu ke pejabat di Serdang Perdana, di sini.
"Apabila mangsa turun daripada kereta, salah seorang suspek menarik rantai leher yang dipakai pengadu, sebelum mereka melarikan diri," katanya.
Beliau berkata, polis telah menahan empat wanita warga tempatan berusia 30 tahun hingga 41 tahun itu di persimpangan lampu isyarat, Jalan Semangat PJS 13, Petaling Jaya, pada Rabu.
"Kita juga terkesan satu video tular berdurasi seminit tiga saat di media sosial berkenaan tangkapan tersebut," katanya.
Anbalagan berkata, kesemua suspek akan ditahan reman di Mahkamah Petaling Jaya, pada Khamis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Nasir di talian 03-8074 2222," katanya.