MESKIPUN sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Perak FC dalam saingan Liga Super 2024/2025 malam ini, pengendali sementara Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag, memuji semangat juang anak buahnya yang tetap tinggi walaupun isu gaji tertunggak terus membelenggu pasukan itu.
Victor berkata, pemain skuad Sang Kenari telah memberikan segalanya untuk membantu pasukan dalam perlawanan tersebut dan ia adalah satu kepuasan buat dirinya.
Menurutnya kebangkitan yang ditunjukkan oleh anak buahnya, terutamanya pada minit akhir babak kedua perlawanan membantu skuad itu membawa pulang satu mata yang amat berharga.
"Apa lagi yang saya nak minta daripada pemain? Mereka sudah memberikan persembahan terbaik, apatah lagi bermain di gelanggang lawan menentang salah satu pasukan yang kuat.
"Aksi mereka sepanjang 90 minit wajar dipuji, lebih-lebih lagi apabila mampu meletakkan isu luar padang ke tepi dan beraksi secara profesional untuk pasukan," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) hari ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Perak FC Yusri Che Lah mengakui kegagalan pasukannya memanfaatkan peluang terhidang menjadi punca mereka sekadar mencatat keputusan seri menentang Kedah.
"Saya mengakui kegagalan tersebut menyebabkan pasukan saya gagal mempertahankan kelebihan satu gol, yang akhirnya dibolosi pada saat akhir.
"Pemain juga dilihat lebih berhati-hati kerana tujuh pemain kami sudah mengutip kad kuning kedua, menyebabkan mereka bimbang tidak dapat beraksi dalam perlawanan akan datang jika menerima satu lagi kad," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pemainnya sedikit hilang tumpuan pada penghujung perlawanan yang akhirnya mengakibatkan mereka melepaskan tiga mata berharga.
"Ini kali kedua kami mencatat keputusan seri pada minit akhir perlawanan. Kami perlu memperbaiki kesilapan dan bekerja lebih gigih untuk perlawanan akan datang," katanya. - Bernama