JAMBI - Ketua Panitia Pemilihan Kecamatan Maro Sebo, Kabupaten Muaro Jambi, Eka Putra Nasution menghadapi detik cemas apabila seekor ular tedung selar kecil memasuki seluarnya ketika beliau sedang mempengerusikan mesyuarat semakan keputusan pilihan raya wilayah 2024.
Kejadian itu berlaku pada Khamis lalu, hingga menyebabkan suasana mesyuarat bertukar panik seketika.
Menurut Eka, pada awalnya dia menyangka 'objek' yang berada di dalam seluarnya adalah kunci motosikalnya.
"Bagaimanapun saya dapat rasakan ada pergerakan yang aneh, hinggalah saya dapati rupa-rupanya ada seekor ular tedung selar kecil di dalam seluar saya.
"Saya terkejut dan meninggalkan sementara mesyuarat untuk segera mengeluarkan ular berkenaan," katanya kepada wartawan baru-baru ini.
Insiden berkenaan menyebabkan mesyuarat dihentikan seketika sehingga 15 minit.
Mesyuarat kemudiannya disambung semula setelah pihak keselamatan menangkap haiwan tersebut dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kejadian itu turut mendapat perhatian umum kerana ia berlaku semasa proses penting bagi mengesahkan keputusan pilihan raya.
Mesyuarat ini adalah bahagian kritikal untuk memastikan keputusan undian dari semua pusat pengundian dikira dengan tepat dan sah sebelum dihantar ke peringkat lebih tinggi untuk pengesahan rasmi.
Indonesia pada Rabu lalu menjalankan Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) secara serentak seluruh negara, pemilihan itu bagi menentukan kepimpinan di 545 kawasan meliputi 37 wilayah, 415 daerah dan 93 bandar. -Agensi