'Jangan salahkan budak tapi pengurusan'

Iklan

SHAH ALAM - Gesaan supaya panglima dan komandan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meletak jawatan jika gagal tangani isu buli di institusi terbabit mendapat reaksi bekas pemimpin kanan tentera.

Bekas Ketua Perisikan Tentera Darat, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berkata, bukan setakat pihak pengurusan dan barisan kepimpinan perlu dipertanggungjawabkan, malah menteri yang terlibat juga perlu meletak jawatan.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, bukan setakat panglima tetapi menteri pun kena berhenti. Tengok luar negara, menteri akan letak jawatan jika kena macam ni,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Khlir, kes buli yang gagal ditangani UPNM boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat untuk menghantar anak mereka ke institusi ketenteraan.

Iklan

"Semalam ada orang cerita hantar dengan kereta, balik dengan kereta jenazah..malu dengar..itu menakutkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan, sekiranya pengawasan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan dan peraturan dikuatkuasakan, kes seumpama itu dapat dikawal.

Iklan

"Saya kata jangan salahkan budak tetapi salahkan pengurusan. Kalau pengurusan buat betul, tegas dengan hukuman, ada prosedur betul, macam mana belajar, dekat mana, pengawasan ada, tak kan berlaku benda ni.

"Dulu kita ada (buli) tetapi tidak melampau sampai sekarang. Sekarang ini melampau sampai seterika orang ni apa benda ni? Kalau seterika, saya terajang, tumbuk dia. Saya takkan benar, sebab saya pun melalui semua ini,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menggesa panglima dan komandan bertanggungjawab meletak jawatan jika gagal menangani kes dera di universiti berkenaan.